Rabu, 12 Maret 2014

100 petugas pilihan raya PAS Kelantan gempur Sg Limau

Harakahdaily  

Aslani M, 13 Okt 2013
KOTA BHARU: PAS Kelantan menghantar kira-kira 100 petugas jentera pilihan raya bagi membantu kempen mempertahankan Dun Sungai Limau pada pilihan raya kecil 4 November ini.
Pasukan tersebut dihantar sebanyak empat peringkat dengan kekuatan 25 petugas satu kumpulan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS 1, Datuk Ahmad Yakob berkata, petugas-petugas terbabit dikenal pasti mereka yang berpengalaman dalam mengatur gerak kerja pilihan raya.

“PAS Kelantan mengerah tenaga bersama petugas-petugas dari negeri lain bagi mempertahankan Dun Sungai Limau yang dimenangi PAS sejak beberapa penggal lalu,” katanya di sini.
Pilihan raya kecil Sungai Limau akan diadakan pada 4 November, manakala penamaan calon 23 Oktober ini. Dun terbabit mempunyai seramai 27,222 pemilih berdaftar.

Pilihan raya kecil Dun terbabit diadakan ekoran Adunnya, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia baru-baru ini.
Dun Sungai Limau terletak di kawasan Parlimen Jerai dimenangi Ustaz Azizan pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,774 undi.
Ustaz Azizan menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali dan dua lagi calon bebas.
Terdapat 19 daerah mengundi di Dun terbabit iaitu Matang Buloh, Sungai Dedap,

Gelam Tiga, Bukit Choras, Bukit Besar, Simpang Tiga Luar, Simpang Tiga.
Selain itu Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sungai Kering, Sedaka, Ulu Sedaka, Padang Lumat, Batu Enam Belas, Kampung Titi Batu, Dulang Kechil dan Dulang Besar.
Sementara itu Ilham Centre yang terbabit secara lansung kajian pilihan raya di negara ini menjangka PAS mampu mempertahankan Dun terbabit pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Pengarahnya, Hishomuddin Bakar bagaimanapun berkata, kemungkinan PAS hanya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih kecil.
“Sudah menjadi kelaziman setiap pilihan raya kecil PAS dan Pakatan Rakyat akan berdepan dengan kekuatan jentera kerajaan persekutuan.
“Namun potensi masih ada pada PAS memandangkan kawasan itu masih konsisten dimenangi PAS beberapa pilihan raya sebelum ini,” ujarnya.
Malah katanya juga pilihan raya itu menjadi ukuran bagi melihat sejauh mana pengaruh Menteri Besar baru Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dapat membantu kempen BN.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar